PASUKAN Indonesia kendalian legenda Belanda, Patrick Kluivert percaya mereka mempunyai peluang besar untuk menewaskan Australia dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 minggu ini.
Selepas enam perlawanan, Indonesia berada di tangga ketiga Kumpulan C dengan enam mata, hanya satu mata di belakang Australia yang berada di tempat kedua.
Kemenangan di Stadium Allianz, Sydney pada Khamis akan membolehkan mereka memintas Socceroos dan menduduki tempat kelayakan automatik ke Piala Dunia.
Kali terakhir Indonesia menewaskan Australia adalah pada Ogos 1981 dengan kemenangan 1-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Sejak itu, mereka tewas lapan kali dan seri dua kali.
Kali terakhir Indonesia berjaya menjaringkan gol ke atas Australia adalah pada Oktober 1984 ketika tewas 2-1 di Piala Merlion.
"Kami terbang ke Sydney bukan sekadar mencari keputusan seri tetapi untuk menang.
"Kemenangan ke atas Australia akan memberikan kami motivai tambahan untuk menewaskan Bahrain di laman sendiri (25 Mac),” kata pemain naturalisasi Indonesia, Thom Haye.
Perlawanan pertama antara Indonesia dan Australia pada September lalu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Gelora Bung Karno.
Walaupun pertembungan di Sydney dijangka sukar, keyakinan Indonesia berada pada tahap tinggi, terutamanya selepas kemenangan 2-0 ke atas Arab Saudi pada November lalu.