KLANG - Sempena memperingati peristiwa Nuzul al-Quran, Masjid Bandar Bukit Raja, Klang menganjurkan program Road to World #QuranHour: Panduan Surah Al-Saff untuk Pemimpin Masa Depan Ummah bagi menggalakkan umat Islam mendekati, memahami, dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
Nazir masjid, Md Nazri Mohamed Nor, menegaskan kepentingan menjadikan al-Quran sebagai pedoman utama umat Islam.
"Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi harus difahami dan diamalkan dalam kehidupan. Kita ingin memupuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi akan datang agar ia menjadi cahaya dalam setiap langkah kehidupan mereka,” ujarnya.
Beliau ditemui pemberita pada program Road to World #QuranHour: Panduan Surah Al-Saff untuk Pemimpin Masa Depan Ummah sempena Nuzul al-Quran di Masjid Bandar Bukit Raja, Klang di sini pada Selasa.
Hadir sama, Imam Masjid Negeri Selangor, Sheikh Abdul Karim Omar dan Johan Majlis Tilawah al Quran Peringkat Kebangsaan 2013, Dr Anuar Hasin.
Program yang diadakan buat pertama kali ini juga sebagai satu kelainan dalam pengisian sempena Program Perkampungan Ramadan di masjid berkenaan pada tahun ini.
"Sebagai tanda penghormatan terhadap hari kebesaran Islam, khususnya Nuzul al-Quran, kami mengajak ahli kariah untuk bersama-sama membaca ayat suci al-Quran secara beramai-ramai, dipimpin oleh qari jemputan,” tambahnya.
Md Nazri juga berharap inisiatif ini dapat dijadikan acara berkala dengan sokongan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas serta pelbagai agensi kerajaan seperti PDRM dan Pasukan Bomba dan Penyelamat yang turut hadir menyemarakkan program.
Road to World #QuranHour merupakan usaha mempersiapkan masyarakat bagi acara tahunan World #QuranHour, di mana umat Islam di seluruh dunia akan meluangkan satu jam untuk membaca, memahami dan menghayati al-Quran.
Tahun ini, tema yang diangkat adalah #SavingTheUmmah, menyeru umat Islam untuk bersatu dalam mendekati kalam Ilahi demi kesejahteraan ummah.
Melalui program ini, pihak pengurusan Masjid Bandar Bukit Raja berharap dapat menanam kesedaran bahawa al-Quran bukan hanya sekadar bacaan, tetapi sumber hidayah yang perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.