PASIR PUTEH - Seorang tekong tempatan dipercayai menerima bayaran sekitar RM500 bagi setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup berjaya ditahan dalam satu operasi di Banggol, Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, awal pagi Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 2 pagi itu, pihaknya memantau pergerakan suspek selama beberapa hari sebelum bertindak.
Menurutnya, semasa serbuan dibuat, suspek yang menaiki sebuah bot pancung cuba mendarat di kawasan tersebut sebelum dikejar oleh pasukan operasi.
"Ketika tangkapan dilakukan, tekong berusia 45 tahun itu dipercayai baru sahaja menghantar enam PATI, termasuk seorang wanita ke daratan sebelum mereka melarikan diri ke kawasan berhampiran.
"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami turut menemui sebuah pasport wanita dipercayai milik salah seorang PATI yang tertinggal di dalam sebuah kereta di lokasi kejadian,” katanya pada pemberita sempena Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025 di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua buah kenderaan yang dipercayai digunakan bagi membawa masuk PATI ke negeri ini, manakala sebuah lagi kenderaan berjaya meloloskan diri.
"Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan laluan laut dengan bot pancung sebelum PATI dipindahkan ke kenderaan darat yang menunggu di lokasi tertentu.
"Mereka dipercayai membayar sehingga RM500 seorang kepada tekong bagi menyeludup masuk ke negara ini,” katanya.
Menurut beliau, pasukan operasi turut menemukan beberapa pil dipercayai dadah yang sedang diperiksa untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.