'Jangan letak batu sempadan sokong kerajaan, UMNO' - Jalaluddin

Iklan
Jalaluddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Bantuan Aspirasi Warga Emas dan Asnaf DUN Sungai Lui pada Ahad. Foto Facebook Jalaluddin Alias

JELEBU - Generasi Felda diseru memberikan kepercayaan kepada kerajaan dan UMNO untuk menyelesaikan masalah mereka khususnya membabitkan rumah untuk generasi kedua.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau sedia maklum generasi kedua Felda marah kepada UMNO susulan isu rumah dijanjikan masih belum disiapkan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, beliau menasihati warga Felda tidak bersikap 'marahkan nyamuk kelambu dibakar' bagi mengelak peristiwa 22 bulan UMNO tidak menjadi kerajaan berulang.

"Hanya UMNO yang tahu titik bengik Felda. Walaupun saya bukan anak Felda tapi saya tahu apa yang baik dan tidak baik kepada Felda. Mengenai kemudahan dan kemakmuran warga Felda.

Iklan

"Isu kedua rumah. Anak-anak generasi kedua Felda marah kepada UMNO kerana rumah tidak siap-siap.

"Tapi apabila kita marah, jangan marahkan nyamuk kelambu kita bakar. Tiada pemimpin yang maksum, imam pun sama. Ada juga salah silap sebagai manusia biasa, begitu juga kerajaan," katanya pada Bantuan Aspirasi Warga Emas dan Asnaf DUN Sungai Lui pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, kerajaan merangka membuat 20,000 rumah lot generasi kedua seperti diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri.

"Tapi apa boleh buat, ketika mahu buat rumah tersebut berbagai masalah timbul yang tidak difikirkan dari awal dan disebabkan itu sekarang kebanyakan rumah tersebut menghadapi masalah juga.

"Bagaimanapun masalah tersebut jangan dijadikan batu sempadan untuk kita menolak pemimpin dan juga kerajaan kerana tanpa mereka, rumah tersebut akan menjadi lebih teruk daripada yang ada sekarang," katanya.

Tambah beliau, sejak diangkat menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan dan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Felda, beliau telah membuka semula fail berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik isu berkenaan.

"Apabila saya jadi Exco, saya panggil pemaju dan unit perumahan mencari jalan bagaimana untuk selesaikan 909 unit rumah Felda di seluruh Negeri Sembilan.

"Selepas berbincang Felda bersetuju untuk mengambil alih projek ini dan sekarang rumah tersebut tengah buat cuma ada masalah sikit mengenai banjir.

"Saya beritahu jangan beri rumah ini selagi masalah tidak selesai, jadi sekarang tengah korek longkang dan pam air.

"Ada kontraktor yang buat kerja tidak sempurna akan ditamatkan kontrak dan lantik kontraktor baharu kerana saya tidak mahu anak-anak generasi Felda mendapat rumah tidak berkualiti," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan Negeri Sembilan turut mengambil tanggungjawab menyelesaikan 510 unit rumah Felda bermasalah tanpa mengambil sebarang keuntungan dalam projek itu.

Justeru beliau memohon warga Felda terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan agar soal kebajikan dan pembangunan masa depan serta kepentingan Felda dapat diatasi dengan baik.

"Kita tidak mahu hadapi masalah seperti 22 bulan dulu, di mana UMNO menjadi pembangkang.

"Untuk menidakkan kerajaan yang ada ketika itu, nasib Felda tidak diperjuangkan, saya ingat masa saya bawa ke Dewan Rakyat tapi tiada tindakan untuk bela warga Felda," katanya.