TAIPING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluangkan masa melawat peniaga dan beramah mesra bersama pengunjung di Bazar Ramadan Rahmah Kamunting, di sini, pada Jumaat.
Kehadirannya disambut meriah oleh pengunjung yang menanti untuk bersalaman dengan pemimpin negara itu.
Beliau tiba kira-kira jam 6 petang, ditemani Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.
Ahli Parlimen Tambun itu meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau serta berbual dengan peniaga dan pengunjung di bazar yang menempatkan 172 peniaga.
Turut menyambut kehadiran beliau ialah ahli Kelab Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Perak Utara yang hadir dengan bunga manggar.
Selepas sesi tinjauan tersebut, Anwar bergerak ke Kampung Tebuk Haji Dollah, Selinsing, bagi meninjau projek Sejati Madani sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Dato’ Alauddin, Selinsing.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Mohd Zakaria berkata, seramai 800 pengunjung terawal menerima e-dompet percuma bernilai RM20 sempena lawatan Perdana Menteri.
Menurutnya, e-dompet percuma itu boleh digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berkenaan.
"Di Perak, sebanyak 10 lokasi Bazar Ramadan Rahmah diwujudkan bagi membantu meringankan beban rakyat,” katanya.