KAJANG - Majlis Kasih Ramadan yang dianjurkan di Masjid Taman Sutera, Kajang pada Sabtu lalu mencerminkan komitmen MTD Properties dalam memperkukuh hubungan serta mengeratkan silaturahim dengan penduduk setempat.
Pelbagai aktiviti diadakan, termasuk pengagihan bubur lambuk, sumbangan kepada masjid, pemberian duit raya kepada 108 anak yatim dan asnaf serta gotong-royong membersihkan kawasan masjid.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD, Reime Rizal Abdul Aziz berkata, syarikat itu bukan sahaja berperanan sebagai pemaju hartanah, malah turut berusaha menjadi rakan strategik kepada komuniti.
"Sebagai sebuah syarikat yang telah bertapak lebih 30 tahun dalam industri ini, MTD Properties komited untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Alhamdulillah, kami diberi peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negeri Selangor, khususnya di Kajang, melalui pembinaan rumah kediaman, bangunan komersial dan infrastruktur berkualiti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebanyak 750 pek bubur lambuk turut diedarkan kepada orang ramai dalam program itu, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Dr Nik Fauzan Nik Faizul, wakil Majlis Perbandaran Kajang dan Ahli Majlis Zon 7.
Menurut Reime Rizal, kejayaan sebenar sesebuah syarikat bukan hanya diukur melalui pencapaian perniagaan, tetapi juga melalui impak positif yang diberikan kepada masyarakat.
"Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan dan membawa kegembiraan kepada komuniti," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perkembangan terkini projek Taman Sutera, Kajang, yang kini memasuki fasa akhir pembangunan Fasa 10.
Projek itu bakal memperkenalkan 378 unit apartmen moden, termasuk 74 unit Rumah Selangorku mampu milik.
Menurutnya, projek itu mendapat sambutan luar biasa kerana lokasinya yang strategik dengan akses mudah ke Lebuhraya SILK dan LEKAS serta kemudahan awam yang lengkap.
"Projek ini menawarkan kediaman ideal bagi mereka yang mengutamakan keselesaan dan kemudahan dalam satu lokasi.
"Pra pelancaran Fasa 10 dijadualkan pada suku kedua 2025. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan permintaan tinggi terhadap kediaman berkualiti di kawasan ini, malah turut mengukuhkan reputasi MTD Properties sebagai pemaju pilihan.
"Sebagai jenama pemaju pilihan dalam pembangunan hartanah dan komuniti, MTD Properties terus komited melaksanakan inisiatif CSR yang mampan sejajar dengan prinsip syarikat dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat," katanya.