Rangkaian Mudah Alih Maya (MVNO) terbesar di Asia Tenggara, redONE Mobile mempergiatkan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui sumbangan kebajikan dan sokongan komuniti setempat sempena Ramadan tahun ini.
Ketua Pemasaran redONE Mobile, Jemay Naim berkata, sumbangan kebajikan kepada komuniti itu dijalankan menerusi program Colours of Ramadhan, Rewang Komuniti di Surau Haji Taib, Kampung Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor.
Menurutnya, terdapat kelainan ditampilkan pada tahun ini dengan penumpuan utama kepada komuniti berbanding program sama pada tahun lalu.
"Setiap tahun kami membantu golongan berbeza, contohnya jika sebelumnya kami memberi bantuan kepada anak yatim dan gelandangan, tahun ini fokus adalah kepada masyarakat setempat yang memerlukan serta menyokong aktiviti keagamaan di surau ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Surau Haji Taib, Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang, baru-baru ini.
Selain itu, Jemay juga memaklumkan redONE Mobile turut bekerjasama dengan lima pempengaruh media sosial ternama di negara ini untuk melaksanakan program infak makanan di Ampang,Kajang, Shah Alam, Kelantan dan beberapa negeri lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Setiap hari Rabu sepanjang Ramadan ini, sebanyak 50 pek makanan akan diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik seperti gelandangan dan asnaf.
"Kami ingin menggalakkan budaya infak dan meringankan beban mereka yang memerlukan manakala pempengaruh pula, mereka bukan sekadar promosi, tetapi turut terlibat secara langsung dalam agihan makanan," ujar beliau.
Beliau turut memberitahu, redONE Mobile bersama-sama pempengaruh juga bersedia membantu peniaga bazar Ramadan dengan membuat ulasan mengenai makanan yang dijual mereka menerusi platform media sosial.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya juga akan mengadakan lawatan di enam bazar Ramadan seluruh negara termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, lawatan ke bazar Ramadan di seluruh negara itu bertujuan menarik lebih ramai pelanggan ke gerai-gerai sedia ada.
Pempengaruh, Uncle Tokok atau nama sebenarnya, Harif Anas Haikal berkata, perasaannya teruja dan berbesar hati untuk menyertai program Colours Of Ramadhan.
"Program Colours of Ramadhan memberikan peluang bermakna bagi saya bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman tetapi menyumbang kepada sesuatu yang memberi impak positif kepada masyarakat," jelasnya.
Uncle Tokok berkata, platform media sosialnya juga membantu menyebarkan maklumat positif terutama tentang program kebajikan melalui perkongsian pengalaman, video dan gambar.
"Saya juga mahu menggalakkan pengikut saya turut serta sama ada sebagai sukarelawan atau penderma dan berkolaboratif dengan organisasi kebajikan untuk menjayakan lebih banyak inisiatif memberi manfaat kepada komuniti," jelasnya.
Program bermanfaat, erat silaturahim
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP), Kampung Sungai Gulang Gulang, Mohd Zamri Kahar berkata, program
Colours of Ramadhan bermanfaat kerana bukan sahaja membantu golongan kurang berkemampuan, malah mengeratkan silaturahim antara penduduk dan syarikat telekomunikasi berkenaan.
Katanya, program itu diharap dapat diteruskan terutama dengan menjadikan rumah ibadah sebagai institusi penyatuan dan pelaksanaan program bermanfaat.
"Kita berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membantu komuniti yang kurang bernasib baik," jelasnya.
Rakan Niaga redONE Mobile, Shan Norman Mohd Fachrurrizal berkata, pihaknya teruja kerana berpeluang bersama-sama komuniti untuk melaksanakan program kebajikan tersebut.
"Ramadan bulan berkat, inisiatif ini dapat membantu komuniti dan menunjukkan kebersamaan dalam hubungan lebih erat selain mengingatkan saya tentang bagaimana usaha kecil ini boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan," katanya.
Seorang penduduk, Siti Arbaah Kemis, 58, berkata, program yang dilaksanakan redONE Mobile sangat dihargai kerana ia menunjukkan keprihatinan syarikat kepada komuniti.
"Usaha murni ini banyak membantu mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk juadah makanan, sokongan kewangan dan aktiviti kemasyarakatan.
"Saya berharap lebih banyak syarikat korporat mencontohi inisiatif seperti ini dengan menganjurkan pelbagai bentuk program kebajikan lain," tambahnya.
redONE Mobile juga akan melancarkan kempen kitar semula e-Waste Reconnect & Recycle sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Colours of Ramadhan.
Hasil daripada kempen ini akan disalurkan kepada Surau Haji Taib di Tanjong Karang bagi menyokong aktiviti komuniti dan keagamaan.
Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan kitar semula e-Waste secara bertanggungjawab, yang membolehkan orang ramai menghantar telefon bimbit lama, pengecas, dan peranti elektronik kecil yang tidak lagi digunakan di kedai redONE Mobile terpilih di Lembah Klang, Johor Bahru, dan Pulau Pinang.
Kempen ini akan dijalankan dengan kerjasama Electronic Recycling Through Heroes (ERTH) sebagai pengendali pengumpulan e-Waste dan akan dilancarkan pada April 2025.
Ia akan dipromosikan melalui saluran digital redONE Mobile, bahan promosi di kedai, serta dengan kerjasama media rasmi, Sinar Harian, untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan.