Tempuh perjalanan lebih 80 kilometer demi jelajah iftar

Iklan
Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang berlangsung di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya pada Rabu dimeriahkan dengan kehadiran hampir 1,000 peserta. Gambar kecil: Mohd Rafi, Mohd Yazid

IPOH - Kemeriahan tahun lalu masih dirasai membuatkan sebuah keluarga nekad untuk menyertai sekali lagi Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang berlangsung di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Rabu.

Mohd Rafi Abdullah, 48, bersama isteri dan dua anaknya sanggup menempuh perjalanan lebih 80 kilometer dari kediaman mereka di Teluk Intan ke Meru Raya di sini agar tidak terlepas peluang program berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penganjuran program itu sudah menjadi acara wajib bagi mereka sekeluarga kerana tertarik dengan konsep berbuka beramai-ramai sambil duduk bersila yang tidak dapat dirasai di tempat lain.

Kamalludin menyantuni pelajar-pelajar Maahad Ad-deeniah yang turut sama mengimarahkan Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya pada Rabu.

"Kami bergerak sekitar jam 3 petang menaiki kereta dan alhamdulillah, walaupun hujan sepanjang jalan, kami sampai dengan selamat di sini.

Iklan

"Masuk sahaja Ramadan, memang program inilah yang kami tunggu-tunggu. Awal-awal lagi dah daftar. Kebetulan kami juga memang suka membeli-belah di Mydin," katanya kepada Sinar Harian.

Hazlina Abu Samah, 49, dari Padang Rengas pula berkongsi pengalaman pertama kali menghadiri program tersebut bersama ibu dan kakaknya.

Iklan

"Mak saya yang dah berusia 74 tahun ini pun saya bawa sekali kerana dia pun teruja nak tengok sendiri suasana. Tak sangka memang ramai dan meriah," katanya.

Antara gelagat peserta yang sempat dirakam Sinar Harian sempena Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang berlangsung di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya pada Rabu.

Suri rumah, Syebbrah Omar, 27, dari Chemor berkata, sepanjang 11 hari berpuasa, ini kali pertama dia dan suami membawa empat anak mereka berbuka di luar.

"Bagi saya turut serta dalam program ini adalah pilihan yang tepat. Walaupun dalam keadaan ramai orang, tempat disediakan selesa dan selamat untuk kanak-kanak," katanya yang mempunyai anak berusia antara dua hingga 11 tahun.

Program yang disertai hampir 1,000 orang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail dan Pengarah Urusan Alzara Foods Sdn Bhd, Mohd Yazid Manap serta pengurusan Mydin Meru Raya.

Acara turut diimarahkan dengan bacaan selawat yang dipimpin pelajar-pelajar Maahad Ad-deeniah, Taman Meru.

Mohd Yazid berkata, program kali ini pihaknya berbesar hati menyediakan 1,000 pek nasi beriani ayam yang dimasak menggunakan produk utama keluaran Alzara iaitu Minyak Sapi Ghee.

Katanya, ditubuhkan pada 2018, Alzara yang bertapak di Rawang, Selangor telah berjaya mengukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan sebagai jenama produk penyediaan makanan yang bermutu tinggi.

Alzara berbesar hati menyediakan 1,000 pek nasi beriani ayam sempena Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang berlangsung di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya pada Rabu.

"Kerjasama dengan Mydin merupakan satu bentuk pasaran yang sangat berkesan dan ia menguntungkan kedua-dua pihak.

"Keberkesanannya boleh dilihat dari segi peningkatan jualan dan maklum balas positif pengguna.

"Jadi untuk jangka masa panjang, kami komited untuk menyediakan lebih banyak produk penyediaan makanan seperti rempah ratus, rempah kari dan rempah ikan bagi memenuhi keperluan pengguna," katanya.

Sementara itu, Kamalludin berkata, Mydin merupakan rakan strategik utama KPDN yang komited menjayakan jualan murah sepanjang tahun menerusi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).

Menurutnya, penglibatan pasar raya besar itu sudah semestinya memberi impak besar dalam membantu meringankan perbelanjaan keluarga yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi.

"Sepanjang bulan Ramadan, KPDN Perak telah melaksanakan 140 program jualan rahman di seluruh negeri.

"Menjelang Aidilfitri nanti, kita juga akan anjurkan 74 jualan rahmah yang tertumpu kepada produk dan barangan persiapan untuk hari raya," katanya.