SHAH ALAM - Suasana di pekarangan Iftar Ala Madinah @Karangkraf bertukar ceria dan meriah dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Dr Mahathir berkata, ini adalah kali pertama beliau dan isteri berbuka puasa beramai-ramai sambil bertemu rakyat memandangkan sebelum ini sekadar memenuhi undangan di majlis tertutup.
"Biasanya saya pergi atas jemputan tapi tidaklah ramai macam di sini (Iftar Ala Madinah), yang ini cukup ramai dan kalau tak hujan (renyai) memang nampak cantiklah (pemandangan).
"Iftar membawa orang Islam bersatu padu dan bersama-sama. Saya pun tidak pernah berbuka puasa di Makkah dan Madinah kerana apabila tiba bulan puasa sahaja, saya pasti berada dalam negara dan tak keluar berjalan-jalan.
"Jadi, tidak dapat kongsikan saya pengalaman berbuka puasa beramai-ramai (memandangkan suasana Iftar Ala Madinah seakan-akan berada di Masjid Nabawi)," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Dataran Karangkraf, di sini pada Rabu.
Iftar Ala Madinah @Karangkraf berlangsung dari 3 hingga 27 Mac ini dan terbuka kepada 1,500 tetamu untuk berbuka puasa secara percuma setiap hari kecuali Sabtu, Ahad serta cuti umum.
Berdasarkan sambutan menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya, program itu sekali lagi memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman seperti berbuka puasa di Masjid Nabawi, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam dan masyarakat setempat.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berpandangan, usaha syarikat-syarikat mahupun individu perseorangan menganjurkan program berbuka puasa dan menyediakan juadah iftar secara percuma kepada orang ramai merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang baik serta wajar diberi pujian.
Tambah tokoh negarawan itu, pendekatan sedemikian patut dijadikan contoh tauladan dan ikutan kepada entiti korporat mahupun agensi kerajaan untuk menyantuni golongan sasar.
"Macam di masjid-masjid pun saya tengok ramai buat macam ini, tapi terlalu banyak (adakan program iftar) pun susah juga.
"Apapun ia inisiatif yang baik dan sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan," katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang berminat untuk hadir diingatkan supaya mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari melalui imbasan kod respons pantas (QR) di laman web rasmi Iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.
Sekiranya ingin membantu menambah baik kemudahan demi keselesaan, membeli kelengkapan berbuka atau tambahan makanan, boleh menyalurkannya sumbangan ke Tabung Infaq Iftar menerusi akaun Maybank bernombor 564276529068 (Maybank-Sinar Karangkraf Sdn Bhd).