BALIK PULAU - Tujuh penagih dadah ditahan selepas port mereka di Bazar Ramadan Bayan Baru diserbu polis pada jam 8 malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 20 hingga 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua gerai berasingan di bazar berkenaan.
Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis menahan enam lelaki dan merampas tiga peket plastik lutsinar berisi ketamin serta dua batang rokok yang berisi tembakau dan ketamin.
"Susulan serbuan pertama, kita menyerbu sebuah lagi gerai setengah jam kemudian dan menahan seorang lagi lelaki. Dalam serbuan itu, kita merampas satu foil berwarna merah/perak yang mengandungi dua biji pil eramin 5.
"Anggaran nilai keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM610. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sazalee menambah, kesemua lelaki berkenaan mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
"Kesemua yang ditahan merupakan peniaga dan pembantu kedai makan.
"Polis tidak akan berkompromi kepada mereka yang mencemarkan bazar Ramadan sebagai 'port' menghisap dadah," katanya.