TAMPIN - Kurang 24 jam aduan peniaga bazar Ramadan Gemas yang berdepan masalah pendapatan terjejas disebabkan susunan petak bazar terlalu panjang selesai selepas Majlis Daerah Tampin (MDT) bertindak membuat penyusunan semula tapak.
Yang Dipertuanya, Suriani Salihan berkata, MDT mengambil langkah memindahkan 10 peniaga terjejas ke lokasi baharu bermula hari ini.
"Peniaga akan berpindah ke tapak baharu ke kawasan yang telah dipersetujui bersama oleh peniaga terlibat bermula petang ini (Rabu)," katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan segelintir peniaga di bazar berkenaan mengeluh jualan mereka tidak balik modal ekoran susunan petak bazar yang terlalu panjang, menyebabkan pelanggan tidak larat berjalan hingga ke gerai paling belakang.
Peniaga memberitahu, pada tahun ini MDT membuka permohonan tapak tanpa had menyebabkan jumlah peniaga meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Susulan itu, peniaga terjejas memohon supaya gerai mereka dianjakkan ke hadapan sedikit atau petak bazar disusun dalam dua lorong, bukannya satu lorong seperti sekarang.
Suriani berkata, MDT menerima banyak permohonan daripada peniaga iaitu 103 tapak berbanding hanya 60 tapak pada tahun lepas.
Ujarnya, langkah itu bagi memberi peluang kepada semua yang ingin berniaga di bulan Ramadan.
"Permohonan meningkat sebanyak 70 peratus dan susunan tapak yang sesuai serta tidak mengganggu aliran trafik terpaksa dibuat.
"Ia bagi menempatkan semua peniaga yang memohon menyebabkan pasar Ramadan menjadi lebih panjang daripada biasa," katanya.
Beliau berharap, langkah diambil MDT itu dapat membantu menyelesaikan masalah segelintir peniaga yang terjejas pendapatan sebelum ini.
Pada perkembangan berasingan, Suriani menasihati peniaga menyokong kempen kerajaan negeri untuk menggunakan plastik biodegradasi bagi menggantikan plastik sekali guna.
Selain itu, pengunjung turut digalakkan membawa beg sendiri bagi mengisi barangan yang dibeli.
Sementara itu, peniaga, Aidawati Isahak, 47, yang mewakili peniaga terjejas merakamkan penghargaan kepada MDT yang bertindak segera menyelesaikan aduan mereka.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada MDT yang mendengar dan membantu menyelesaikan masalah kami dengan membuat penyusunan tapak ini.
"Sudah lebih seminggu pendapatan kami terjejas disebabkan lokasi tidak strategik. Diharapkan dengan pemindahan ke lokasi baharu ini dapat menyelesaikan masalah kami sepenuhnya," katanya.