PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mungkin boleh mempertimbangkan memanggil pemain sayap Selangor, Faisal Halim untuk sekurang-kurangnya berada dalam senarai awal pemain menghadapi perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, tindakan itu dilihat akan dapat membantu meningkatkan kembali semangat Faisal dan memulihkan moral pemain sayap lincah itu.
Faisal sebelum ini menjadi antara tonggak utama dalam pasukan Harimau Malaya namun kecederaan akibat menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu menyaksikan dia terpaksa berehat panjang.
Pemain lincah itu turut berdepan cabaran untuk kembali ke prestasi terbaiknya dan hatrik yang dilakukan ketika menentang Kelantan Darul Naim FC dalam aksi Liga Super pada Ahad menyaksikan Faisal mula mendapat sentuhan seperti dahulu.
"Mungkin boleh panggil dia untuk berada dalam senarai awal pemain. Walaupun mungkin tidak tersenarai dalam skuad akhir, sekurang-kurangnya dia boleh kembali berlatih bersama pasukan negara dan menaikkan moral dia.
"Pada ketika ini kebangkitan moralnya sangat penting dan peranan semua pihak untuk kembalikan keyakinan dia sebelum boleh kembali menyarung jersi negara,” katanya kepada Sukan Sinar.
Aksi terdekat Harimau Malaya adalah perlawanan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 25 Mac ini dan setakat ini, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih berteka-teki mengumumkan barisan pemain yang akan menggalas misi penting itu.
Dalam pada itu, Sulaiman mengakui masih terlalu awal untuk melabelkan Faisal sudah kembali ke prestasi terbaiknya selepas meledak hatrik menentang Kelantan.
"Pada saya perlawanan menentang Kelantan itu tidak boleh menjadi ukuran sepenuhnya mengenai kebangkitan Faisal, tetapi sekurang-kurangnya dia sudah menemui sentuhan gol dan pastinya dia akan meningkatkan lagi prestasinya,” katanya.