SHAH ALAM - Peningkatan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) memberi nilai tambah signifikan kepada negeri dalam menambah baik perkhidmatan kepada rakyat, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, peningkatan itu juga menunjukkan keadilan kerajaan Persekutuan, terutamanya dalam memastikan setiap rakyat mendapat perhatian dan perkhidmatan terbaik, khususnya dalam aspek kemudahan infrastruktur.
"Selain itu, saya percaya peningkatan ini juga satu perubahan dan pembaharuan signifikan dari sudut pengagihan yang adil bagi negeri-negeri," katanya mengulas manfaat peningkatan kadar Capitation Grant kepada kerajaan negeri dan rakyat Selangor.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Jelajah Wanita MyWIRA antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan TalentCorp yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim di sini hari ini.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) dinaikkan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuat kuasa mulai 2026.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, secara asasnya kerajaan negeri akan menggunakan peningkatan kadar berkenaan untuk menambah baik sektor dan perkhidmatan kepada rakyat, terutamanya dalam memastikan isu-isu melibatkan keselesaan penduduk seperti infrastruktur jalan dan masalah banjir dapat ditangani dengan lebih baik.
"Ini antara perkara yang kita akan tambah baik, di samping kita tidak nafikan ada lagi peruntukan dalam bentuk projek seperti projek tebatan banjir di Selangor yang kita akan laksanakan secepat mungkin," katanya. - Bernama