GEORGE TOWN – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik bagi meraikan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abd Rahim berkata, melalui Program Raikan Syawal PTPTN bersama anak-anak yatim dan asnaf yang diadakan tahun ini, ia melibatkan dua aktiviti yang dijalankan bagi menyantuni mereka.
Menurutnya, dalam program pertama seramai 50 penerima sumbangan yang terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf di sekitar Bukit Gelugor, di sini telah dibawa membeli kelengkapan baju raya di pusat membeli belah Aeon Queensbay Mall pada Ahad lalu.
"Program ini merupakan acara tahunan PTPTN sejak 2016 lagi yang bertujuan menceriakan Ramadan dan sambutan hari raya yang akan diraikan tidak lama lagi.
"Dalam aktiviti kedua pula, kita membawa anak-anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah ke majlis berbuka puasa yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini" katanya ketika ditemui pemberita pada Program Raikan Syawal PTPTN bersama anak-anak yatim dan asnaf di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad, Pengasas dan Pengurus Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah, Rohani Hussainsa dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Norliza berkata, selain menikmati pelbagai juadah istimewa yang disediakan, PTPTN juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,400 kepada 24 anak-anak yatim dan asnaf dengan setiap seorang menerima RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
Norliza turut memberikan sumbangan peribadi kepada setiap penerima selain sumbangan beg sekolah dan juga kuih raya.
Mengulas lanjut, Norliza berkata, PTPTN sentiasa melaksanakan program CSR dalam memastikan bantuan dan sokongan diberikan kepada mereka yang memerlukan.
"Aktiviti membeli baju raya dan berbuka puasa ini merupakan inisiatif PTPTN dalam memberi peluang kepada anak yatim dan golongan asnaf untuk merasai kemeriahan Ramadan dan Syawal bersama-sama.
"Kita berharap melalui program CSR ini, lebih ramai lagi yang tampil untuk turut sama berkolaborasi membantu golongan yang memerlukan.
"Inisiatif sebegini dapat memberi keceriaan dan semangat kepada mereka yang memerlukan, serta mengingatkan kita semua akan pentingnya menjaga nilai-nilai kemanusiaan dalam kehidupan seharian," tambah beliau.