SEREMBAN - Ibu kepada salah seorang mangsa tragedi nahas babit tiga kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1 memaklumkan tidak mahu berjumpa dengan pemandu Honda Jazz yang menyebabkan kematian anaknya.
Menurut Rohani Ab Ghani, 46, ibu kepada Muhammad Aswari Lotpi, 16, setakat ini sama ada pelaku mahupun keluarga berkenaan belum tampil bertemunya.
"Mereka tak ada datang langsung dan saya juga tak nak berjumpa dengan mereka. Tak ada yang dapat kurangkan kesedihan sebab saya hilang anak dengan cara macam tu.
"Saya akan lawan, saya dah ada peguam yang akan bantu tapi buat masa ini belum ada perincian mengenainya dan saya serahkan kepada pihak peguam untuk buat apa yang perlu," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam kejadian 8.30 malam Khamis, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan Honda Jazz dipandu lelaki berusia 18 tahun gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan, 15 dan Muhammad Aswari sementara seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17 meninggal dunia jam 7.23 malam, Isnin ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar(HTJ).