Bantuan pesakit kanser payudara Kelantan naik kepada RM1,000

Iklan
Rohani (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima OKU.

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menaikkan jumlah bantuan pesakit kanser payudara di negeri ini daripada RM500 kepada RM1,000 tahun ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim berkata, kenaikan jumlah bantuan itu dibuat selepas kerajaan negeri melihat peningkatan kos rawatan serta keperluan sokongan kewangan dalam kalangan pesakit.

Iklan
Iklan

"Tahun lalu, penerima skim bantuan ini menerima RM500 setiap seorang.

Rohani

"Tahun ini jumlahnya dinaikkan kepada RM1,000 bagi memastikan mereka mendapat bantuan yang lebih bermakna dalam menampung keperluan perubatan dan kos harian sepanjang tempoh rawatan,” katanya pada Majlis Mahabbah Ramadan bersama 600 orang kurang upaya (OKU) di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, bantuan itu terbuka kepada pesakit kanser payudara yang sedang menjalani rawatan di hospital kerajaan dan mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan.

Mereka juga perlu mendapatkan pengesahan daripada hospital sebelum membuat permohonan.

Iklan

Menurut Rohani, pada tahun lepas, seramai 370 pesakit menerima bantuan di bawah skim berkenaan dan untuk tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan jumlah penerima yang lebih tinggi.

"Kita berharap lebih ramai wanita yang layak akan memohon kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka.

"Kami juga terus bekerjasama dengan hospital serta badan bukan kerajaan untuk memastikan kesedaran mengenai kanser payudara terus dipertingkatkan,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan dana untuk program kesedaran seperti seminar kesihatan dan kempen advokasi bagi menggalakkan wanita melakukan pemeriksaan awal.

Statistik menunjukkan 43 peratus pesakit kanser payudara di Malaysia hanya dikesan pada peringkat lewat (tahap tiga dan empat) yang menyukarkan proses rawatan.

"Kami menyeru wanita untuk melakukan pemeriksaan berkala dan mendapatkan rawatan awal. Jika dikesan pada peringkat awal, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi,” katanya.

Borang permohonan bantuan boleh didapati di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu atau melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri masing-masing dan boleh dimohon bermula 6 Mac hingga 30 April ini.