Saravanan putuskan tidak teruskan debat dengan Zamri

Iklan
Saravanan ketika sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memutuskan untuk tidak meneruskan debat berkaitan agama dengan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu demi menjaga perpaduan negara.

Saravanan berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

Iklan
Iklan

"Setelah meneliti dan memperhalusi pandangan serta nasihat Kerajaan Perpaduan, Presiden MIC dan polis saya telah memutuskan supaya debat ini tidak diteruskan demi keharmonian dan perpaduan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Saravanan menetapkan tarikh debat bersama Muhammad Zamri pada 23 Mac ini susulan kenyataan kontroversi pendakwah berkenaan membandingkan perarakan kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Iklan

Isu terbabit mulai timbul apabila tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu video pendek sehingga mencetuskan perselisihan.

Dalam pada itu, Saravanan menegaskan, debat yang dirancang bukanlah berkaitan dengan perbandingan agama sebaliknya bertujuan membetulkan tuduhan yang dibuat oleh Muhammad Zamri mengenai unsur keagamaan dalam perayaan Hindu.

Iklan

"Saya ingin menjelaskan bahawa debat ini bukan antara saya dengan mana-mana agama lain. Ini tidak berkaitan dengan soal agama.

"Tetapi saya ingin membetulkan dakwaan liar yang mengatakan bahawa laungan ‘vel,vel’ dalam perarakan kavadi dilakukan dalam keadaan mabuk.

"Sebagai penganut Hindu, saya bertanggungjawab untuk membetulkan fakta ini,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk menyelidik punca sebenar kontroversi tersebut dan mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang pada masa akan datang.