KLANG - Sebanyak 113.77 kilogram (kg) makanan dikumpulkan pada hari pertama Program MYSaveFood Bazar Ramadan yang diadakan di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, di sini, pada Selasa.
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam kenyataannya memaklumkan, semua makanan diselamatkan diagihkan kepada penduduk sekitar Jalan Sri Sarawak 19, Surau An-Nur dan penghuni Bengkel Daya.
Menurut kenyataan tersebut, program dilaksanakan bertujuan mengurangkan pembaziran makanan dengan mengumpul makanan tidak terjual daripada peniaga bazar Ramadan dan mengagihkan kepada golongan memerlukan.
"Program ini berlangsung dari 10 hingga 14 Mac di Bazar Ramadan Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas dan beroperasi bermula jam 5 petang hingga 9 malam," katanya.
Turut hadir Ahli Majlis MBDK, Mohd Rayme Abdul Rahman dan Pengarah Kesihatan MBDK, Azmi Muji.
Kenyataan itu turut memaklumkan inisiatif dijayakan dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia.
Menurut kenyataan tersebut, usaha itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga dan masyarakat setempat yang turut memberikan sokongan terhadap inisiatif berkenaan.
"Dengan adanya program seperti MYSaveFood Ramadan MBDK 2025, diharapkan lebih banyak pihak menyedari kepentingan mengurangkan pembaziran makanan dan bersama-sama membantu golongan memerlukan," jelasnya.