SHAH ALAM – Kira-kira 4,000 pengunjung memeriahkan Iftar Ala Madinah @Karangkraf pada minggu pertama penganjurannya.
Rata-rata berasa selesa berbuka puasa dalam suasana santai dan meriah, seperti di Masjid Nabawi, Madinah.
Penjawat awam, Muhammad Nazir Shah Abdullah, 34, berkata, berbuka puasa di Karangkraf sudah menjadi rutin tahunannya bersama keluarga.
"Tahun lalu saya datang tiga hingga empat kali. Seronok sebab dapat berbuka bersama ramai orang dalam suasana santai dan penuh kemeriahan,” katanya yang menetap di Setia Alam.
Menurutnya, selain hidangan percuma, inisiatif itu memudahkan mereka yang pulang lewat dari bekerja.
"Kadang-kadang balik petang tak sempat masak. Di sini lebih mudah kerana semua kemudahan seperti surau dan tandas lengkap,” ujarnya.
Seorang lagi penjawat awam, Mohd Fazirul Abd Ghani, 37, juga tidak pernah melepaskan peluang berbuka di Karangkraf pada setiap tahun.
"Makanan banyak pilihan, kemudahan lengkap, jadi tak susah bawa keluarga,” katanya.
Tambahnya, selepas berbuka, pengunjung boleh terus menunaikan solat Maghrib dan tarawih di surau yang disediakan.
Sementara itu, pekerja swasta, Talha Yahya, 34, yang pertama kali menyertai program itu berkata, pengalaman berbuka di Karangkraf sangat memuaskan.
"Isteri yang ajak datang. Sebelum ini kami biasa berbuka di masjid. Ini pengalaman baharu tetapi memang seronok,” katanya yang bekerja di Klang.
Menurutnya, layanan baik daripada petugas turut memudahkan pengunjung mendapatkan makanan.
Bagi Sidik Ibrahim, 33, kualiti makanan yang dihidangkan juga menjadi tarikan utama.
"Menu yang disediakan segar dan panas, menunjukkan keikhlasan penganjur menyantuni pengunjung dengan hidangan percuma,” katanya.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang berlangsung dari 3 hingga 27 Mac ini, terbuka kepada 1,500 tetamu pada setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Orang ramai perlu mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari dengan mengimbas kod QR di laman web Iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.Mereka yang ingin menyumbang untuk menambah baik kemudahan, membeli kelengkapan berbuka atau menginfakkan makanan boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Infaq Iftar menerusi akaun Maybank 564276529068 (Maybank-Sinar Karangkraf Sdn Bhd).