[DIKEMAS KINI] HARAPAN Arsenal untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Manchester United (MU) di Stadium Old Trafford.
Arsenal yang kini menghuni tangga kedua liga, gagal mencatatkan kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
Dengan 55 mata, anak buah Mikel Arteta ketinggalan 15 mata di belakang Liverpool, walaupun memiliki kelebihan satu perlawanan.
Prestasi kurang memberangsangkan ini pastinya meresahkan Arteta khasnya komuniti penyokong Arsenal.
Dalam aksi menentang MU, Declan Rice muncul wira The Gunners dengan jaringan penyamaan m-74, memadamkan kelebihan awal The Red Devils yang dijelmakan melalui hasil sepakan percuma Bruno Fernandes (m-47).
Separuh masa pertama perlawanan itu berlangsung hambar menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang berbahaya.
Arsenal mendominasi penguasaan bola, namun gagal menembusi benteng pertahanan Manchester United.
Fernandes akhirnya memecah kebuntuan Manchester United penghujung separuh masa pertama, menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan lebih rancak apabila Arsenal meningkatkan tekanan.
Rice akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-74, menewaskan Andre Onana sambil meraikannya dengan isyarat 'senyap' kepada penyokong United.
"Ada sedikit gurauan bola sepak antara saya dan peminat..."Saya mahu masuk ke kawasan itu (padang) dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, telah membuat lebih banyak larian.
"Saya mempunyai lebih banyak tenaga membuat larian tanpa bola dan bola semakin banyak jatuh kepada saya dan saya telah mencipta lebih banyak peluang," kata Rice mengenai sambutan golnya.
Manchester United pula terus bergelut dengan prestasi semasa yang tidak konsisten.
Dengan hanya satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga, dan tiga kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir, anak buah Ruben Amorim terperosok di tangga ke-14 dengan 34 mata.
United sebelum ini mencatatkan empat kekalahan berturut-turut di Liga Perdana ketika menentang Arsenal, rekod terburuk Red Devils menentang Gunners dalam sejarah liga.