Seorang maut, tiga cedera kereta terbabas dan terbalik

Iklan
Keadaan Perodua Axia yang terbabas dan terbalik di Kilometer 39.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.

KULAI – Seorang wanita maut manakala tiga lagi termasuk dua kanak-kanak cedera selepas kereta Perodua Axia yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 39.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada petang Ahad.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP) Asmiza Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.19 petang.

Iklan
Iklan

"Sebaik tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia yang terbabas dan terbalik di bahu jalan.

"Terdapat empat mangsa dalam kenderaan itu, termasuk seorang wanita berusia 29 tahun yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, tiga lagi mangsa iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun termasuk bayi perempuan berusia tiga bulan mengalami kecederaan.

"Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan semua mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Operasi menyelamat membabitkan 11 anggota dari BBP Kulai dan BBP Renggam dengan dua jentera pemadam (FRT) dan tamat sepenuhnya pada jam 6.13 petang.

"Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa," katanya.