PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah bernilai RM3 juta selepas merampas 23.095 kilogram dadah dalam tiga serbuan berasingan baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, operasi itu turut menyaksikan penahanan dua individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.
"Dalam serbuan pertama pada 3 Februari lalu, pihak kami menyita satu kotak di gudang sebuah syarikat logistik di KLIA Kargo, Sepang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi 10 bungkusan plastik putih berisi pil merah jambu disyaki dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 17,800 gram dengan nilai anggaran RM2.97 juta.
"Sindiket ini menggunakan perkhidmatan kurier udara dan mengisytiharkan bungkusan sebagai ‘organic waxmelt vanilla’ bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi kedua pada 10 Februari lalu, dua lelaki berusia 30-an ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di ibu kota.
"Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis kanabis seberat 4,050 gram, MDMA (208 gram) dan lysergic acid diethylamide (LSD) (1,973 gram).
"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan perkhidmatan penghantaran udara dengan mengikrarkan bungkusan sebagai ‘epoxy resin for art and craft’,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam kes ketiga, sepasukan anggota JKDM bersama Unit Anjing Pengesan Dadah (K9) melakukan pemeriksaan di Pusat Mel dan Kurier KLIA pada 21 Januari lalu.
"Pemeriksaan terhadap dua kotak bungkusan menemukan bahan kristal putih disyaki methamphetamine seberat 1,036 gram dengan nilai anggaran RM33,152.
"Sindiket ini menyembunyikan dadah di dalam ‘plastic silica gel’ yang dicampur bersama bahan makanan kering sebelum diikrarkan sebagai ‘dry food’ semasa pengeksportan,” katanya.
Tambahnya, semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan diminta menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam terdekat.
"Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tegasnya.