TANJONG KARANG - Sepasang suami isteri di Jalan Parit 2, Kampung Sungai Burong di sini terpaksa bergelap sementara selepas rumah didiami mereka mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku seminggu sebelum Ramadan.
Jurunikah Masjid Al-Huda Kampung Paya Jaras, Othman Ab Kadir, 56, berkata, dia bernasib baik kerana insiden malang pada 21 Februari itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dan bekalan elektrik juga dapat berfungsi semula selepas dibaiki oleh adiknya beberapa hari selepas kejadian.
"Angin dan hujan sangat lebat sekitar jam 5.15 petang, tiba-tiba kami terdengar bunyi berdentum di atas bumbung. Tidak lama selepas itu, cahaya mula kelihatan dari bahagian atas rumah dan air mencurah masuk ke dalam.
"Dapur habis banjir dan rumah terus bergelap akibat petir. Bila keadaan reda, saya keluar untuk memeriksa dan mendapati bumbung sudah tersingkap serta banyak kebocoran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, perabot dan peralatan elektrik turut mengalami kerosakan teruk, menyebabkan dia dan isterinya terpaksa bergelap serta berpanas kerana bekalan elektrik terputus.
Othman yang juga bekas Imam 1 di masjid tersebut berkata, sehingga kini kerja-kerja membaik pulih rumah masih tertangguh kerana kos pembaikan yang dianggarkan hampir RM7,000.
Menurutnya, rumah berkenaan mengalami kerosakan teruk lebih 50 peratus membabitkan bahagian bumbung.
"Mujur ada rumah wakaf di Kampung Paya Jaras Tengah yang membenarkan kami berteduh hujung minggu, tetapi pada hari biasa kami masih menetap di rumah yang rosak ini.
"Saya sedang mengumpul dana untuk membaiki rumah ini kerana duit sumbangan yang diterima masih belum mencukupi. Setakat ini, saya telah menerima sekitar RM1,050 daripada individu yang prihatin, dan dimaklumkan Pejabat UMNO Bahagian Tanjong Karang akan turut menghulurkan bantuan,” ujarnya.
Othman berkata, dia sangat memerlukan bantuan kewangan bagi mempercepatkan proses baik pulih rumahnya, tambahan dengan keadaan anaknya juga mahu menyambung pelajaran ke universiti tempatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 114281049929 atas nama Othman Ab Kadir.