Jakoa segerakan pembinaan baharu jambatan gantung Sungai Balar

Iklan
Jambatan gantung besi Sungai Balar tidak dapat digunakan kerana terputus. Foto ihsan pembaca.

GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan menyegerakan pembinaan jambatan gantung baharu di Sungai Balar di sini susulan struktur lama yang terputus dan menjejaskan kira-kira 400 penduduk Orang Asli di kawasan itu.

Dalam kenyataannya, Jakoa menegaskan bahawa pihaknya sentiasa peka terhadap isu yang membabitkan masyarakat Orang Asli dan komited mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan mereka.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, jambatan tersebut memang sudah termasuk dalam perancangan kerja baik pulih bagi tahun ini.

Jambatan gantung di Sungai Balar merupakan laluan penting bagi penduduk setempat, khususnya pejalan kaki dan pengguna motosikal.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan, kerosakan yang berlaku menimbulkan kesulitan dalam urusan harian penduduk, termasuk keperluan untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan dan akses ke sekolah bagi anak-anak mereka.

Jakoa memberi jaminan bahawa tindakan segera pembinaan jambatan baharu bagi memenuhi keperluan masyarakat Orang Asli itu juga adalah usaha pihaknya dalam memastikan kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.

Iklan

Jambatan gantung berstruktur besi terbabit terputus akibat paras sungai meningkat dan arus deras kerana hujan lebat sejak petang, Sabtu.

Keadaan menyebabkan penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Barung, Kampung Ipes dan Kampung Tidag, terputus hubungan.