SHAH ALAM - Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teressa Kok menegaskan parti itu tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan akan terus memberi khidmat kepada rakyat serta negara dengan ikhlas.
"Ya, DAP tidak akan diperintah oleh sesiapa. Kita harus berkhidmat kepada negara dengan hati yang bersih," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Iklan
Iklan
Sebelum ini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilapor menegaskan, masa depannya sebagai ketua parti berkenaan hanya akan ditentukan oleh ahli dan bukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, DAP tidak pernah dikuasai UMNO semasa menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila berada dalam kerajaan.
Terdahulu Ahmad Zahid ketika menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menasihatkan bekas Menteri Kewangan itu untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, 'zaman' Guan Eng sudah berlalu dan beliau seharusnya meletakkan kepercayaan kepada barisan pemimpin yang lebih baharu dalam parti berkenaan.
Kenyataan tersebut susulan peringatan Guan Eng kepada UMNO mengenai program bersama parti pembangkang khususnya Pas akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.