BEKAS penyerang Manchester United, Teddy Sheringham, mendakwa pertahanan lawan di Liga Pro Saudi memberi laluan mudah kepada Cristiano Ronaldo untuk menjaringkan gol.
Menurut Sheringham, kebanyakan pemain lawan tidak berusaha dengan baik untuk menghentikan Ronaldo dalam perlawanan sebaliknya lebih berminat untuk mendapatkan jersi bintang Portugal itu selepas perlawanan.
"Saya rasa Ronaldo boleh mencapai 1,000 gol, terutama dengan liga yang sedang dia sertai. Mungkin dalam tempoh dua musim lagi, dia akan sampai ke angka tersebut. Namun, semakin sukar apabila usia semakin meningkat, terutama selepas usia 40 tahun.
"Tetapi, dia tidak perlu risau kerana tidak ada pemain lawan yang akan mencederakannya. Mereka memberikan 'layanan istimewa' setiap kali dia berada di padang, malah pertahanan lawan seperti membiarkan dia menjaringkan gol hanya untuk mendapatkan jersinya selepas perlawanan," kata Sheringham.
Ketika ini, Ronaldo sudah mencetak 18 gol dalam 22 perlawanan Liga Pro Saudi musim ini. Dia turut menyumbang enam gol dalam lima perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan dua lagi dalam Piala Super Saudi.
Pada November 2024, Ronaldo sendiri mengakui bahawa misinya untuk mencapai 1,000 gol mungkin semakin sukar kerana faktor usia. Dia mengakui semakin sukar untuknya di atas padang dan mula mempertimbangkan sama ada sasaran tersebut masih realistik.
"Tetapi nampaknya semuanya berjalan lancar kerana bulan lalu saya sudah mencapai 900 gol. Kini, ia lebih kepada menikmati setiap saat dan melihat sejauh mana kaki saya mampu bertahan dalam beberapa tahun akan datang.
"Jika saya berjaya mencapai 1,000 gol, ia sesuatu yang hebat, tetapi jika tidak, saya sudah pun menjadi pemain dengan jumlah gol terbanyak dalam sejarah," katanya.
Ketika ini, Ronaldo telah mengumpul 926 gol sepanjang kariernya.