Beg sekolah ‘randoseru' alternatif tangani isu beban buku berat

Iklan
Beg sekolah 'randoseru' sesuai dijadikan alternatif untuk pelajar di Malaysia dalam mengurangkan masalah tulang belakang akibat beban beg berat. Gambar kecil: Intan Nur Izzati

SHAH ALAM – Beg sekolah 'randoseru' berbentuk kotak yang menjadi pilihan murid sekolah rendah di Jepun sesuai dijadikan alternatif baik untuk pelajar di Malaysia dalam mengurangkan masalah tulang belakang akibat beban beg berat.

Pencipta kandungan, Intan Nur Izzati Sahlan, 28, berkata, beg 'randoseru' direka khas bagi memastikan beratnya diagihkan dengan sekata, sekali gus mengurangkan tekanan pada bahu dan belakang pelajar.

Iklan
Iklan

"Beg ini bukan sekadar untuk membawa buku, malah ia direka dengan fungsi keselamatan seperti boleh dijadikan pelampung dalam mendepani situasi kecemasan serta mampu melindungi kepala dan badan jika berlaku gempa bumi.

"Justeru, saya menyarankan ibu bapa di Malaysia mempertimbangkan penggunaan beg 'randoseru' kerana ia bukan sekadar aksesori, sebaliknya direka untuk keselesaan dan keselamatan anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, kesedaran ibu bapa dalam memilih beg sekolah yang sesuai juga penting bagi memastikan anak-anak tidak mengalami masalah tulang belakang pada usia muda.

"Perkara ini nampak remeh tetapi kesannya boleh berpanjangan. Oleh itu, ibu bapa sepatutnya mendidik anak-anak sejak kecil untuk memilih beg berdasarkan keselesaan, bukan sekadar reka bentuk kartun,” ujarnya.

Iklan

Bagaimanapun, Intan tidak menafikan bahawa harga beg 'randoseru' agak tinggi dan mampu mencecah sehingga RM3,000.

"Mungkin harga beg ini subjektif tetapi jika melihat kepada kualiti dan fungsinya, saya rasa ia berbaloi. Selain reka bentuk menarik, beg 'randoseru' juga tahan lasak dan mampu digunakan bertahun-tahun tanpa rosak.

"Di Jepun, mereka menggunakan randoseru dari usia enam hingga 12 tahun dengan jaminan selama enam tahun, jadi ia pelaburan yang berpatutan,” tambahnya.