GEORGE TOWN - Pemain industri semikonduktor di Malaysia perlu mengutamakan penerapan kecerdasan buatan (AI) sebagai strategi perniagaan teras untuk meningkatkan kecemerlangan operasi dan mengekalkan kedudukan negara sebagai peneraju dalam industri ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, adalah sama penting bagi Malaysia untuk membangunkan juara AI tempatan dalam industri semikonduktor serta mewujudkan ekosistem AI yang kukuh di peringkat domestik.
"Untuk menjadi hab semikonduktor berasaskan AI di peringkat global, kita bukan sahaja perlu mengguna pakai teknologi AI malah menciptanya. Kini adalah masa yang tepat bagi pemain industri semikonduktor Malaysia untuk menerajui inovasi berasaskan AI.
"Kita mesti membangunkan penyelesaian semikonduktor berkuasa AI sendiri yang memenuhi permintaan industri dan meningkatkan daya saing global Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Malaysia Semiconductor Industry Association AI Nexus (MAIN) di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.
Dalam pada itu, Gobind berkata, semua pemain industri semikonduktor, pembangun AI, institusi penyelidikan dan pembuat dasar perlu bekerjasama secara aktif.
"Ketika kita melangkah ke hadapan, saya mohon semua pemain industri semikonduktor, pembangun AI, institusi penyelidikan, dan pembuat dasar untuk bekerjasama secara aktif.
"Kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi integrasi AI dalam industri semikonduktor. Bagaimanapun, kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Tambah beliau, AI bukan lagi satu konsep masa depan sebaliknya ia adalah kuasa transformasi yang membentuk industri semikonduktor di seluruh dunia.
"Sebagai tunjang pendigitalan, semikonduktor memainkan peranan penting dalam membolehkan aplikasi AI berkembang. Pada masa sama, AI sedang merevolusikan reka bentuk, pembuatan serta rantaian bekalan semikonduktor.
"Penyelesaian berasaskan AI kini meningkatkan kecekapan reka bentuk cip, mengoptimumkan proses fabrikasi wafer, serta memperbaiki pengurusan hasil dan pengesanan kecacatan.
"Automasi berkuasa AI membantu meningkatkan kecekapan pengeluaran dan kualiti produk, memastikan Malaysia terus berdaya saing dalam rantaian nilai semikonduktor global," katanya.
Jelas beliau, kerajaan komited dalam menyokong transformasi digital perniagaan dengan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) sebagai sebuah badan utama untuk memacu agenda AI negara pada Disember tahun lalu.
"Antara peranan NAIO adalah menyediakan sokongan, sumber dan panduan yang diperlukan supaya industri semikonduktor dapat memanfaatkan AI dengan lebih berkesan," katanya.
Mengulas mengenai platform MAIN, Gobind berkata, MAIN adalah satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia dalam industri semikonduktor dan AI.
"Objektif MAIN selari dengan misi NAIO, kedua-duanya berkongsi visi yang sama untuk mempercepatkan penggunaan AI dan membangunkan teknologi AI buatan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor.
"MAIN akan menjadi platform kolaboratif bagi pengeluar semikonduktor, syarikat reka bentuk dan pemain ekosistem untuk mengintegrasikan AI ke dalam operasi dan penyelidikan mereka.
"Peranan MAIN sangat kritikal dalam memastikan industri semikonduktor Malaysia kekal berdaya saing dalam pasaran global yang dipacu AI. NAIO sedia bekerjasama dan menyokong inisiatif MAIN bagi memastikan Malaysia terus maju dalam inovasi semikonduktor berasaskan AI," katanya.