SHAH ALAM - Wanita Malaysia memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian global yang memastikan keselamatan, kualiti dan keadilan pelbagai industri.
Bekas Ketua Pengarah, Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia), Datuk Fadilah Baharin berkata, piawaian memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan, daripada mainan kanak-kanak sehingga sistem kewangan yang digunakan setiap hari.
"Pada Hari Wanita Antarabangsa ini, kita raikan wanita hebat yang memastikan dunia lebih selamat, lebih cekap dan adil.
"Membuktikan bahawa apabila wanita menetapkan piawaian, dunia menjadi lebih baik untuk semua,” katanya pada Sabtu.
Terdahulu, Fadilah telah berjaya membangunkan lebih 6,000 Piawaian Malaysia termasuk piawaian halal pertama di dunia yang kini menjadi penanda aras global.
Sementara itu, Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna-pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam berkata, antara wanita menerajui piawaian dalam pelbagai bidang termasuk Bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Allahyarhamah Datuk Noor Farida Ariffin yang memperjuangkan tempat kerja lebih inklusif melalui kepelbagaian serta keterangkuman.
Menurutnya, wanita lain turut menerajui dalam bidang perniagaan dan teknologi adalah usahawan, Vivy Yusof yang menetapkan standard antarabangsa bagi produk kecantikan halal.
Tambah beliau, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat fintech Pod, Nadia Ismadi, juga membantu wanita mendapatkan akses kewangan dengan mematuhi piawaian pemesejan kewangan sejagat (ISO 20022).
"Turut memainkan peranan dalam menetapkan piawaian keselamatan angkasa lepas, Tan Sri Dr Mazlan Othman. Piawaian bukan sekadar dokumen teknikal, ia mempengaruhi kehidupan kita setiap hari, daripada keselamatan makanan, tempat kerja, hingga dunia digital, semuanya melalui piawaian.
"Bagi memastikan keperluan semua pihak diambil kira, lebih ramai wanita perlu terlibat dalam menetapkan piawaian dan akan membawa kepada polisi lebih inklusif untuk keselamatan dan hak wanita; keputusan yang lebih adil dalam pelbagai industri dan inovasi lebih baik dalam kesihatan, teknologi dan kewangan,” ujarnya.
Beliau berkata, wanita Malaysia telah membentuk piawaian global dan terus menjadi pemacu utama inovasi, keselamatan serta kesaksamaan.
"Jadi, setiap kali anda menggunakan produk halal, membuat transaksi selamat dalam talian atau bekerja dalam persekitaran selamat, ingat, wanita membantu menetapkan piawaian yang menjadikannya mungkin!," jelasnya.