KUALA Lumpur City (KL City) FC meneruskan momentum positif dalam Liga Super apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 3-2 di Stadium Darul Aman.
Kedua-dua pasukan yang berdepan pemotongan mata oleh First Instance Body (FIB) mempamerkan aksi garang.
Bagaimanapun Kedah mendahului menerusi Milos Gordic (m-25), namun Paulo Josue menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama (m-47).
Pada separuh masa kedua, Josue sekali lagi meletakkan KL City di hadapan (m-62), tetapi Kedah menyamakan kedudukan menerusi Mohd Fadzrul Danel Nizam (m-65).
Namun Sean Gan Giannelli muncul wira KL City dengan gol kemenangan pada minit ke-85.
Kemenangan ini meletakkan KL City di tangga keenam dengan 28 mata, manakala Kedah di tangga ke-10 dengan 20 mata.
Sementara itu, Terengganu FC dan Sabah FC berkongsi mata selepas seri 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Gol Terengganu dijaringkan Ismaheel Akinade (m-24) dan Muhammad Safawi Rasid (m-85), manakala gol Sabah dijaringkan Stuart Wilkin (m-20) dan Saddil Ramdani (m-44).
Keputusan ini mengekalkan Sabah di tangga ketiga dengan 36 mata dan Terengganu di tangga keempat dengan 34 mata.