KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan bekerjasama dalam melatih 1,000 bakal pesara bomba secara percuma bagi mengikuti program latihan dan persijilan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program itu akan dikendalikan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) iaitu agensi di bawah Kesuma bagi memperkasa kemahiran bakal pesara bomba agar mampu untuk terus menyumbang tenaga dan pengetahuan kepada industri dan masyarakat.
Menurutnya, program rintis itu akan melibatkan kos kira-kira RM1 juta dan pihaknya menyasarkan 10,000 peserta dalam tempoh lima tahun.
"Ini kali pertama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bekerjasama sebagai rakan strategik NIOSH dan saya berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang membantu dalam menjayakan inisiatif ini.
"Ketika ini ada kira-kira 15,000 anggota bomba di seluruh negara. Setiap tahun, ada yang sudah sampai umur pencen tapi masih kuat kudrat dan daya. Saya percaya mereka aset penting negara.
"Maka, atas inisiatif yang sangat positif dan baik ini, kita sasarkan bagi fasa pertama, NIOSH akan bantu melatih 1,000 pegawai bomba yang hampir pencen dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan kerana mereka ini lebih layak dan akan menjadi pilihan pemain industri,” katanya selepas Majlis Menandatangani dan Pertukaran Nota Kerjasama antara NIOSH dan JBPM yang berlangsung di Parlimen pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Antara kursus yang ditawarkan di bawah inisiatif tersebut adalah ‘Train The Trainer’ (TTT) bagi melatih peserta menjadi jurulatih profesional yang berkelayakan untuk mengendalikan kursus-kursus berkaitan KKP dan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang memberi kemahiran dalam mengenal pasti risiko, menjalankan audit serta menyelaras program keselamatan di tempat kerja.
Turut ditawarkan adalah kursus ‘Lead Auditor’ Sistem Pengurusan yang membolehkan peserta menjalankan audit sistem pengurusan KKP mengikut standard antarabangsa.
Sementara itu, Steven Sim berkata, inisiatif tersebut dibiayai sepenuhnya oleh NIOSH melalui dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka dan merupakan satu bentuk penghargaan kepada wira-wira JBPM yang telah berkhidmat penuh dedikasi melindungi rakyat dan negara.
"Dengan adanya latihan berstruktur dan persijilan yang diiktiraf, bakal pesara bomba kini berpeluang menambah nilai dan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas bersara.
"Kerjasama yang terjalin juga mencerminkan semangat kerja berpasukan antara Kesuma dan KPKT, selari dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan pembangunan insan secara holistik.
"Walaupun NIOSH dan JBPM berada di bawah kementerian berbeza, kedua-dua agensi tersebut berganding bahu dalam usaha membela kebajikan pekerja sektor awam termasuk pegawai dan anggota bomba yang bakal bersara,” jelasnya.