Keluarga harap Eda Ezrin dapat pulang sebelum raya

Iklan
Wan Ismail (kanan) dan isterinya, Zahara Mamat berharap Eda Ezrin akan dibenarkan pulang sebelum sambutan hari raya nanti.

NARATHIWAT, THAILAND - Keluarga penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, berharap ibu kepada dua orang anak itu akan dibenarkan pulang sebelum sambutan hari raya nanti.

Ayahnya, Wan Ismail Wan Yusof, 52, berkata, walaupun Eda Ezrin serta suami dan empat lagi rakan telah dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda namun mereka masih ditahan di penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

Iklan
Iklan

"Jika tiada rayuan dibuat, mereka akan dibenarkan pulang. Kami berdoa Eda Ezrin dapat pulang menyambut hari raya bersama-sama kami di Kelantan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada Khamis.

Wan Ismail (kiri) dan ibunya, Zahara Mamat (dua dari kanan) serta keluarga akan mengadakan kenduri doa selamat sempena kepulangan dan pembebasan Eda Ezrin.

Menurutnya lagi, keluarga juga akan mengadakan kenduri doa selamat sempena kepulangan dan pembebasan Eda Ezrin apabila dia pulang nanti.

Iklan

Dalam masa sama, Wan Ismail memberitahu, apa yang berlaku kepada Eda Ezrin serta suami dan rakan-rakannya itu diharap dapat menjadi pengajaran kepada semua.

Sinar Online pada Khamis melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan terlepas daripada penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.

Iklan

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Hakim menerusi hujah penghakimannya berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh.

Menurutnya, selain itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di sini juga tidak menunjukkan bahawa mereka membawa masuk kesemua dadah ke dalam bilik.