SABAK BERNAM - Sebanyak lapan rumah musnah akibat kejadian ribut kepala angin yang melanda kawasan Lot 5416, Jalan Ban Lesen, Parit 4, Sekinchan di sini pada Khamis.
Menurut laporan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7:48 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
Komander Operasi, PBK II Mohd Rafizal Mohd Rani, mengesahkan tiada mangsa yang cedera atau maut dalam kejadian tersebut.
"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati angin kencang telah menerbangkan bumbung serta merosakkan beberapa bahagian rumah penduduk.
"Bomba bertindak segera mengarahkan penduduk untuk keluar dari rumah yang musnah dan berkumpul di tempat selamat sementara pemeriksaan lanjut dijalankan," ujarnya dalam kenyataan.
Penduduk setempat dinasihatkan untuk berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan serta membantu mangsa yang terjejas.
Dalam pada itu, rakaman video berdurasi 2 minit 11 saat itu turut dimuat naik di Facebook I Love Sekinchan menunjukkan serpihan binaan dan barangan lain berterbangan akibat angin kencang tersebut.
Setakat jam 12 tengah hari, video itu menerima lebih 1,000 reaksi, 205 komen, dan 673 perkongsian.
Pengguna Facebook, Linda Khairi, melaporkan kejadian turut berlaku di sekitar Ban 1 dan Ban 2, Parit 4 Sekinchan di sini.