SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Rabu menyeru semua ahli Parlimen supaya melaksanakan tiga perkara penting yang dituntut oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Sewaktu membacakan kenyataan bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform), Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) serta Rasuah Busters, beliau telah memberikan jaminan komitmen berkaitan tiga perkara tersebut.
"Pertama, ialah penubuhan sebuah jawatankuasa Parlimen bersama, yang berperanan memastikan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) mengenai hal ehwal pentadbiran dan kewangan Parlimen. Jawatankuasa ini akan memastikan segala keputusan berkaitan pengurusan Parlimen dibuat dengan lebih tulus serta bertanggungjawab.
"Kedua, keperluan bagi MPP untuk membentangkan laporan tahunan serta penyata kewangan secara berkala. Ini bertujuan untuk meningkatkan tahap akauntabiliti serta memastikan Parlimen berfungsi dengan lebih cekap dan integriti.
"Ketiga, penempatan kewajipan terhadap semua pihak perkhidmatan Parlimen untuk bertindak secara adil dan saksama sementara mengutamakan kepentingan Parlimen,” katanya.
Sebelum ini, ahli Parlimen diminta menyokong dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 serta meneliti Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) bagi memastikan ketelusan serta pemerkasaan institusi Parlimen di negara ini.
Dalam satu kenyataan bersama, Bersih, IDEAS, Reform, Projek SAMA dan Rasuah Busters menegaskan bahawa kelulusan serta penambahbaikan kedua-dua RUU ini bertujuan memperkukuh rangka kerja undang-undang dalam tempoh peralihan dua tahun sebelum pelaksanaan penuh.
Dalam pada itu, Azalina memuji kesemua NGO tersebut kerana sentiasa membawa cadangan itu dan bersetuju bahawa pendekatan dimainkan oleh kerajaan adalan yang terbaik setakat ini.
Tambahnya, tiga perkara tersebut merupakan komitmen Kerajaan Madani selepas RUU tersebut diterima dan dibawa ke Dewan Negara.
"Sebelum kena kuat kuasa inilah antara perkara yang perlu kita lakukan.
"Jadi saya cukup yakin komitmen diminta oleh NGO dan Yang Berhormat sekalian, kekhuatiran supaya tidak ada salah guna serta sebagainya, saya percaya komitmen yang diberikan akan dilaksanakan,” kata beliau.