SEREMBAN - Seorang lelaki bertindak agresif apabila menjadikan pintu jeriji di Rumah Pangsa Templer di sini sebagai tempat melepaskan kemarahan.
Menerusi video tular berdurasi 15 saat itu, lelaki terbabit bertindak menendang pintu berkunci beberapa kali sehingga rosak.
Video tersebut dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong yang mendakwa isu vandalisme beberapa kali berulang di lokasi sama.
"Kenapa pintu keselamatan ini terus menjadi tempat melakukan tindakan tidak bertanggungjawab.
"Saya harap semua orang dapat bekerjasama mewujudkan persekitaran hidup berkualiti tinggi," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Difahamkan pemasangan pintu keselamatan di bangunan 14 tingkat susulan menjadi lokasi membunuh diri.
Kebanyakan yang bertindak demikian merupakan penduduk luar, justeru pemasangan pintu pagar hanya membolehkan penduduk mempunyai kad akses sahaja memasuki pangsapuri itu.
Sementara itu, Seh Yong ketika dihubungi, berkata individu melakukan perbuatan vandalisme dikenal pasti sebagai salah seorang penduduk dan mengalami masalah mental.
Ia dikenal pasti selepas membuat laporan selain semakan rakaman melalui kamera litar tertutup (CCTV).