PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Prosiding rayuan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu ditangguhkan selepas isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan.
Ia membabitkan keputusan hakim itu (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah pada 1 September 2022 dalam tiga kes rasuah bagi projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah, 74, yang memakai jubah berwarna hijau hadir ke mahkamah sebelum prosiding bermula, namun beredar selepas mengadu sakit.
Semasa prosiding pendengaran permohonan di hadapan tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah berkata, anak guamnya mengalami sakit kepala.
"Dia menghidap kencing manis dan darah tinggi, jadi anak guam terpaksa ke hospital swasta di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
"Oleh itu, kami mohon prosiding hari ini ditangguhkan," kata peguam itu yang hadir bersama peguam Azrul Zulkifli Stork dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Perkara itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai selaku responden.
Hakim Ahmad Zaidi yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, kemudiannya menetapkan prosiding bersambung pada 15 Mei depan.
Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, sekiranya Hakim Mohd Zaini digugurkan daripada kes solar terbabit, prosiding perbicaraan semula dapat dijalankan di hadapan hakim perbicaraan yang baharu.
Beliau berkata demikian selepas disoal oleh Hakim Ahmad Zaidi mengenai kesan terhadap permohonan penyingkiran Hakim Mohamed Zaini, memandangkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah pun mensabitkan Rosmah atas kesalahan rasuah dalam kes terbabit.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah, 74, dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, namun ia berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.
Dia juga didenda RM970 juta, dan jika gagal membayar denda itu, Rosmah boleh dihukum penjara selama 30 tahun.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, peguam yang mewakili Rosmah memohon agar mahkamah terlebih dahulu mendengar rayuan anak guamnya berhubung keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menggugurkan dirinya daripada mendengar serta mengadili kes solar tersebut.
Permohonan untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan diumumkan, atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.
Peguam juga memberitahu bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.