PUTRAJAYA - Sambutan Aidilfitri di Muar 'dijangka sesak' apabila daerah di Johor yang mempunyai lebih 300,000 penduduk itu menjadi fenomena di media sosial mahupun Parlimen akhir-akhir ini.
Gandingan Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pelakon, Bella Astilah dalam kerjasama sebagai duta jenama baju raya menjadi pencetus kehangatan Muar.
Keintiman Syed Saddiq dan Bella Astilah yang dipaparkan membawa usikan warga maya yang mendoakan kerjasama mereka atau dikenali sebagai BASS berakhir di jinjang pelamin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berseloroh mengenai hal demikian di Dewan Rakyat sebanyak dua kali.
Malah keluarga bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberi gambaran seolah-olah merestui hubungan mereka.
Bukan itu sahaja, beberapa rakaman video perbahasan Syed Saddiq di Parlimen turut mencuri tumpuan dan menjadi tular.
Pada masa sama, rakaman video nyanyian anak kepada pelawak Achey, Nur Tiara Zinnirah yang menyebut selamat hari raya ke Muar dalam lirik Ketipak Ketipung Raya menjadi meme di media sosial.
Ia berbanding lirik asal nyanyian Aisha Retno dan Aziz Harun yang menyebut selamat hari raya semua.
Bagaimanapun rakaman yang dikongsikan Achey di aplikasi TikTok itu berjaya menghiburkan pelayar platform itu sehingga mendapat 315,900 tanda suka dan 96,500 perkongsian setakat jam 7 pagi ini.
Muar yang berkeluasan 1,354 kilometer persegi mempunyai lebih 310,000 penduduk majmuk, sebahagian besar adalah Bumiputera.