TAPAH - Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak membazirkan masa dengan memilih parti lain.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini kerana kerajaan sedia ada telah terbukti sebagai gabungan yang kuat dan mewakili semua kaum.
Menurutnya, Anwar turut melahirkan keyakinan pengundi di kawasan itu dapat bertindak matang memilih calon daripada kompenan parti yang boleh mewakili mereka dalam apa juga isu dan permasalahan dihadapi.
"Dalam setiap pilihan raya kecil, Perdana Menteri tentunya mahukan kerjasama yang baik antara kompenan dalam Kerajaan Perpaduan.
"Selain itu, beliau mahukan rakyat tidak membuang masa mengundi parti lain.
"Ini gabungan yang kuat, gabungan yang mewakili semua kaum dan telah terbukti berperanan dengan efektif di peringkat Persekutuan dan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Bangunan UMNO Tapah di sini pada Selasa.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad dan dihadiri bersama, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi dan Naib Pengerusi DAP, A Sivanesan itu antara lain membincangkan gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac untuk urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning susulan kekosongan kerusi akibat kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin.
Ishsam, 59, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi PH Perak berkata, perkhidmatan cemerlang ditunjukkan Allahyarham Ishsam dan rekod kemenangan parti setiap kali pilihan raya umum sudah cukup membuktikan DUN Ayer Kuning merupakan kubu kuat BN.
Justeru katanya, kerjasama antara BN dan PH ini dapat memberikan kepada rakyat seorang calon lebih baik untuk membawa aspirasi rakyat bersama kerajaan.
"Saya harap juga pengundi beri peluang sekali lagi kepada gabungan Perpaduan ini. Ia sangat padu dan mantap di peringkat Persekutuan," katanya.