KUALA LUMPUR - Polis telah merujuk kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual anggota polis kepada Bukit Aman, pada Isnin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan itu kemudian akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Saya memberi jaminan siasatan kes itu telus, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan tidak tepat berkaitan kes itu.
"Saya tidak boleh menjelaskan hasil siasatan kerana kertas siasatan telah dirujuk kepada Bukit Aman, sebelum diserahkan ke Jabatan Peguam Negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Pada 11 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan polis telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata, pihaknya juga telah merakam percakapan peguam kepada pengadu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual ketika memberi keterangan di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan satu perhimpunan yang dijalankan di ibu kota, 19 Disember lalu.
Rusdi dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima satu laporan pengadu berkaitan ketidakpuasan hati di atas tingkah laku anggota polis.
Selain daripada pengadu terdapat lapan individu lain yang diambil keterangan berkaitan perhimpunan itu pada hari sama.