Buat aduan jika peniaga tidak letak tanda harga, jual harga tidak munasabah

Iklan
Pengguna diminta membuat aduan tentang kesalahan yang dilakukan penjual termasuk di bazar Ramadan di seluruh Pulau Pinang sepanjang Ramadan ini. Gambar kecil: Jegan

GEORGE TOWN - Pengguna di Pulau Pinang diminta tampil membuat aduan sekiranya mendapati mana-mana peniaga tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijual di bazar sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, pengguna juga perlu membuat aduan segera di saluran yang betul sekiranya penjual menjual makanan pada harga yang tidak munasabah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aduan boleh dikemukakan melalui laman sesawang eAduan KPDN di eAduan.kpdn.gov.my untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa

"Orang ramai digesa untuk tampil membuat aduan sekiranya mendapati mana-mana peniaga melanggar peraturan tersebut.

Iklan

"Setakat ini, tiada aduan yang kita terima mengenai harga makanan di bazar Ramadan di seluruh negeri ini," katanya kepada Sinar Harian.

Jegan berkata, pengguna juga perlu cakna tentang kesalahan peniaga di tempat lain termasuk bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.

Iklan

Menerusi Ops Pantau 2025 yang dilancarkan baru-baru ini beliau berkata, pihaknya giat menjalankan pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan, khususnya sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Langkah ini bertujuan melindungi hak pengguna daripada tindakan peniaga tidak beretika, termasuk kegagalan meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

"Peniaga yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Jelasnya lagi, Ops Pantau 2025 dijalankan secara harian di seluruh negara termasuk Pulau Pinang bagi memastikan harga barangan kekal terkawal dan tiada unsur pencatutan yang membebankan rakyat.

Dalam pada itu Jegan berkata, bagi aduan melibatkan kualiti makanan pula, pengguna disarankan menyalurkannya kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum ini, KPDN melaksanakan Ops Pantau 2025 mulai Ahad hingga Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan pematuhan peniaga berdasarkan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.