TAIPEI - Kerana kasih luar biasa seorang ibu, seorang wanita sanggup menyimpan mayat anaknya selama enam tahun.
Kejadian itu berlaku di sebuah pangsapuri di daerah Ruifang, New Taipei City.
Warga emas berusia dalam lingkungan 70-an itu menempatkan jasad kaku anaknya yang meninggal dunia ketika berumur 53 tahun di sebuah bilik dipasang penghawa dingin setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
Menurut United Daily News, unit rumah itu dibeli kira-kira lapan tahun lalu sebelum penemuan menggemparkan itu.
"Jirannya percaya wanita itu tinggal bersendirian. Mereka juga tidak menghidu sebarang bau kurang menyenangkan.
"Perbuatannya terbongkar pada tahun ini apabila si ibu diserang strok dan menghadapi kesukaran untuk 'menguruskan' mayat anaknya seperti dilakukan sebelum ini.
"Selain itu, dia juga menghadapi masalah kewangan dan tidak lagi dapat membayar bil elektrik yang tinggi," jelas laporan itu lagi.
Polis melakukan pemeriksaan di rumah itu kemudiannya menemui 'mumia' seorang wanita.
"Siasatan awal menolak kes pembunuhan kerana wanita tersebut hanya mengikut wasiat anaknya yang enggan dikebumikan. Penyiasat turut menemui cecair seperti minyak yang disapu pada seluruh jasad anaknya," jelas jurucakap pihak berkuasa. - Agensi