PUTRAJAYA - Isu peningkatan kos perubatan negara akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, KKM bersama Bank Negara dan Kementerian Kewangan (MOF) turut meneliti hal-hal berkaitan dengan peningkatan premium insurans.
"Beberapa pendekatan lain juga telah diambil dan saya tetapkan dalam waktu terdekat kita dapat tangani," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2025 di sini pada Isnin.
Industri insurans dan takaful menerima banyak maklum balas selepas mengumumkan kenaikan mendadak premium insurans perubatan antara 40-70 peratus, berikutan dakwaan mereka mengenai kos perubatan yang tinggi.
Januari lalu, syarikat insurans dijangka mengehadkan kenaikan premium insurans perubatan dalam usaha mengawal inflasi kos rawatan dan tuntutan masa depan, seiring rundingan antara pihak berkuasa dan hospital yang masih diteruskan.
Namun, ketidaktentuan mengenai keberkesanan langkah itu masih menjadi cabaran besar.
Sementara itu, Dzulkefly memaklumkan KKM memperkenalkan platform baharu yang membolehkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan kebersihan premis makanan dengan lebih mudah dan pantas.
Ujarnya, saluran WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan melengkapkan ekosistem saluran aduan sedia ada seperti telefon, e-mel, media sosial, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA), serta aduan secara terus di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
"Aduan melalui WhatsApp di talian 6012-8484378 ini boleh dibuat sepanjang tahun," katanya.