MELAKA - Demi untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah, seorang penganggur sanggup menjadi penjual 'jus dadah' yang menyasarkan pengunjung hiburan sekitar negeri ini.
Bagaimanapun kegiatannya sejak sebulan lalu tidak berpanjangan selepas dicekup dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Tengah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penahanan lelaki warga tempatan berusia 22 tahun dan berasal dari Johor di kawasan Banda Hilir di sini kira-kira jam 11 malam pada Sabtu lalu hasil aduan dan risikan yang dijalankan pihaknya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek, menjumpai sebanyak 62 botol minuman pelbagai jenama mengandungi bahan disyaki dadah MDMA dengan isipadu anggaran berat 28,910 mililiter (ml) bernilai RM17,500.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM54,600 yang boleh digunakan seramai 21,159 penagih dadah.
"Ia sekali gus polis berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dicampurkan ke dalam air minuman botol berperisa digelar 'jus dadah' sebelum dibekalkan ke pusat hiburan," katanya ketika sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, Melaka Baru, di sini hari, pada Isnin.
Mengulas lanjut beliau berkata, modus operandi digunakan adalah suspek yang bergerak solo itu akan mengambil dadah yang dibekalkan dari satu tempat dan meninggalkannya di satu tempat lain sebelum diambil pelanggan.
Ujar beliau, polis turut menyita motosikal suspek dan sebuah kereta yang dijadikan tempat simpanan dadah yang diparkir di sebuah kawasan kondominium bagi memudahkan suspek mengambil bekalan dadah.
Katanya, berdasarkan soal siasat terhadap suspek, dia mengaku dibayar gaji sehingga RM800 seminggu untuk melakukan kegiatan pengedaran dadah walaupun sebelum ini dia dijanjikan pekerjaan lain oleh kenalannya.
"Semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes gaduh namun ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
"Suspek direman tujuh hari bermula Ahad hingga sehingga Sabtu ini ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.