Warga emas maut dilanggar malam Ramadan pertama

Iklan
Mangsa berusia 82 tahun tercampak ke cermin hadapan sebelum terjatuh ke atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

MUAR – Seorang warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Jalan Abdul Rahman, di sini pada Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 9.40 malam.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun sedang bergerak menghala ke Taman Aman.

"Kenderaan tersebut kemudian melanggar seorang pejalan kaki yang melintas secara tiba-tiba menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, akibat pelanggaran itu, mangsa berusia 82 tahun tercampak ke cermin hadapan sebelum terjatuh ke atas jalan raya.

Ujarnya, mangsa mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melintas jalan dan memandu kenderaan," katanya.