PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri mengingatkan agar setiap penganjuran majlis iftar dan sumbangan oleh kementerian serta jabatan kerajaan dilaksana secara bersederhana bagi memastikan ruh Ramadan dapat dihayati dengan sempurna.
Berucap di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana berkenaan boleh digunakan untuk memberi menfaat kepada golongan yang kurang bernasib baik.
"Saya perhatikan juga kadang-kadang perkakasan itu agak berlebih.
"Kotak-kotak sangat indah untuk mengisi kurma.
"Kalau harga kotak lebih mahal daripada harga kurma, bagi saya ia satu pembaziran," katanya pada Isnin.
Menurutnya, Ramadan bukan sahaja mengukuhkan keyakinan ibadat seseorang kepada ALLAH SWT tetapi juga memupuk integriti, disiplin, kejujuran dalam kehidupan.
"Tentunya dimensi kemanusiaan atau manusiawi supaya kita lebih insaf dan bukan hanya mewahkan acara iftar.
"Tidak perlu sangat menunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada yang lebih (memerlukan).
"Itu saya ingatkan kepada semua sebagai peringatan apatah lagi menjelang Aidilfitri ada persaingan untuk memberikan kotak lebih cantik," ujar beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut mengajak rakyat untuk memberi tumpuan yang lebih terhadap al-Quran berikutan ia merupakan bulan turunnya Kitab Suci itu.
"Peringatan untuk kita semua, tumpu lebih sedikit kerana bulan ini turunnya al-Quran, jadi perlu membudayakan pembacaan, kefahaman dan mesejnya.
"Al-Quran merupakan petunjuk kepada manusia agar dapat menentukan pertimbangan antara baik dan buruk,” jelasnya.