JEMPOL - Seorang jurujual kereta maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terseret sejauh 20 meter dalam kejadian di Felda Palong 2 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada jam 11.40 malam itu membabitkan tiga buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR , Lagenda dan Honda Dash.
"Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa yang berusia 22 tahun itu dalam perjalanan dari perkampungan Felda Palong 2 menghala ke jalan besar Felda Palong, sebaik tiba di lokasi motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggangnya dihilang kawalan.
"Berikutan itu motosikalnya telah terbabas sebelum mangsa terjatuh dari motosikalnya sehingga kenderaan itu terseret ke jalan bertentangan sejauh kira-kira 20 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, pada masa sama seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda bersama rakannya yang menunggang Honda Dash dari arah jalan besar Felda Palong menghala ke perkampungan Felda Palong 2 tidak dapat mengelak telah melanggar motosikal mangsa yang berada di atas jalan.
"Akibatnya mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi manakala penunggang motosikal Yamaha Lagenda dan Honda Dash masing-masing mengalami luka di kaki, jari dan tangan.
" Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
" Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Yasmin Beevee Mohamed Ali ditalian 012-9434222 bagi membantu siasatan," katanya.