Kadar dividen KWSP tinggi tingkat keyakinan strategi pelaburan

Iklan
Secara keseluruhan pencapaian memberangsangkan kadar dividen 2024 adalah hasil daripada pengurusan yang berhemat dan strategi pelaburan yang bijak. Foto kecil: Syed Hussain

SHAH ALAM - Peningkatan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sahaja menguntungkan pencarum dari segi pulangan simpanan tetapi juga meningkatkan keyakinan terhadap strategi pelaburan dan pengurusan risiko yang diamalkan oleh institusi tersebut.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, namun adalah penting bagi KWSP untuk terus memantau perkembangan ekonomi global dan domestik serta menyesuaikan strategi pelaburan bagi memastikan pulangan konsisten dan mampan pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, secara keseluruhan pencapaian memberangsangkan kadar dividen 2024 adalah hasil daripada pengurusan berhemat dan strategi pelaburan bijak oleh pengurusan KWSP untuk memastikan kesejahteraan para pencarum.

"Pengumuman kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah oleh KWSP untuk tahun 2024 merupakan perkembangan yang amat positif dan memberangsangkan.

Iklan

"Peningkatan dividen ini berbanding kadar dividen pada tahun 2023 menunjukkan prestasi pelaburan KWSP kukuh dan pengurusan dana berkesan.

"Ia juga mencerminkan pemulihan ekonomi domestik dan global yang berjaya dimanfaatkan oleh KWSP untuk beri dividen lebih tinggi kepada pencarum,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Tambah Syed Hussain, ramai penganalisis ekonomi sebelum ini telah menjangkakan peningkatan kadar dividen KWSP bagi tahun 2024.

"Sebagai contoh, pada November 2024 dilaporkan bahawa kadar dividen KWSP berpotensi melebihi 6.0 peratus berdasarkan pendapatan pelaburan yang meningkat sebanyak 20 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun tersebut.

"Selain itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Februari 2025 turut menjangkakan agihan dividen lebih baik bagi tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya, berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024 dengan pendapatan pelaburan RM57.5 bilion,” jelasnya.