PUTRAJAYA - Kerajaan Madani menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi komitmen sepenuhnya dalam menyiasat isu kehilangan beras putih tempatan (BPT) serta dakwaan pencampuran beras dengan memperkenalkan teknologi baharu melalui penggunaan cap jari asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesan sebarang pencampuran.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KPKM, berdasarkan hasil siasatan menggunakan teknologi tersebut, KPKM mendapati Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta perundangan subsidiari di bawahnya tidak mempunyai peruntukan jelas bagi pendakwaan kesalahan pencampuran beras di mahkamah.
Kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember lalu turut mendedahkan, pencampuran BPT dan beras putih import (BPI) telah berlaku sejak tahun 1970-an, namun tiada tindakan diambil bagi mengawal aktiviti tersebut.
"Sehubungan itu, Kerajaan Madani mengambil tanggungjawab untuk mengawal amalan tersebut dengan mengambil kira pandangan pesawah, pengguna dan industri.
"Susulan Mesyuarat JKKMN tersebut dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember lepas, KPKM telah diarah untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, mekanisme bagi mengawal percampuran tersebut turut mendapat sokongan MyCC sebagai usaha penyelesaian jangka panjang.
"Hasil siasatan mengenai kehilangan Beras Putih Tempatan turut terjawab apabila Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang ditubuhkan KPKM mendapati punca kekurangan bekalan adalah disebabkan oleh masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT serta tiada peruntukan khusus mengenai larangan pencampuran beras dalam Akta 522.
"Harga siling BPT telah ditetapkan pada RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 yang mana pada waktu itu harga belian padi sekitar RM750 per metrik tan. Selepas 17 tahun, harga minimum belian bagi satu tan padi diselaraskan dua kali, iaitu RM1,200 pada tahun 2014 dan RM1,300 pada tahun 2024.
"Penyelarasan terkini berkuat kuasa 16 Februari dengan harga belian padi RM1,500, namun harga siling BPT masih tidak berubah,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, keadaan ini menyebabkan pesawah mahukan harga padi lebih tinggi bagi meningkatkan pendapatan, sementara pengilang dan pemborong pula berusaha mengekalkan margin keuntungan mereka, selain pengguna tetap mengharapkan harga beras kekal rendah pada RM26 bagi setiap 10 kilogram.
"Kesannya, industri beras berdepan ketidakseimbangan kerana setiap penyelarasan harga lantai belian padi tanpa disertai semakan harga siling BPT dan menyebabkan pengeluar beras tidak dapat menampung kos pengeluaran, akhirnya menjejaskan bekalan BPT di pasaran.
"Bagi mencari solusi ‘menang-menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna, KPKM telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024,” kata kenyataan itu.
Antara langkah awal yang diambil adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta 522, menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) serta memperkasakan peranan MARDI dalam mengenal pasti varieti beras melalui teknologi DNA.
"Selain itu, sebagai ihsan terhadap rakyat, kerajaan memberikan subsidi RM150 juta untuk mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram. Langkah ini adalah untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan, seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup mereka,” kata kenyataan itu lagi.
KPKM berharap langkah-langkah yang diambil tersebut akan mendapat sokongan semua pihak dalam memastikan industri padi dan beras negara kekal mampan, selain bekalan beras stabil dan berpatutan untuk rakyat Malaysia.