UMNO Perak hantar enam nama calon PRK Ayer Kuning

Iklan
Saarani bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang Green Excel Manufacturing Sdn Bhd di Kamunting pada Sabtu.

TAIPING - UMNO Perak akan menghantar senarai pendek nama calon membabitkan enam individu untuk dipertimbangkan bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, senarai nama terdiri daripada lelaki dan wanita itu akan dihantar kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diperhalusi.

Iklan
Iklan

"Mengikut Perlembagaan UMNO fasal 15.13.1, jawatankuasa UMNO bahagian hendaklah menyediakan cadangan nama.

"Saya telah mendapat mandat semasa mesyuarat jawatankuasa bahagian untuk menghantar nama mereka semua antaranya pemangku ketua bahagian iaitu timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, bendari bahagian, ketua penerangan dan ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang Green Excel Manufacturing Sdn Bhd di Kamunting di sini pada Sabtu.

Menurut Saarani, daripada senarai tersebut, dua individu memaklumkan telah menarik diri menjadi calon kerusi milik Barisan Nasional (BN) itu.

Iklan

"Semalam (Jumaat) saya beritahu lapan nama ni hendaklah dipersetujui untuk dipilih oleh Presiden parti tetapi jika ada yang berhasrat untuk menarik diri boleh WhatsApp kepada saya.

"Jadi setakat ini ada dua orang WhatsApp pada saya dan tidak menarik diri ada enam. Bermakna (senarai) ini akan dipertimbangkan lagi, kemungkinan ada yang WhatsApp... tidak pastilah," katanya.

Tambah beliau, UMNO akan mengetengahkan calon yang mempunyai kriteria boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disenangi (likeable) seperti mana yang dimaklumkan Ahmad Zahid, baru-baru ini.

"Jadi sudah pasti kita ada calon yang menepati kriteria itu dan saya yakin apabila calon itu diumumkan, dia akan mendapat sokongan daripada semua.

"Dalam janji kita daripada lapan nama yang saya hantar itu satu saja yang akan dapat, tujuh yang lain akan bertungkus lumus untuk memenangkannya. Saya tidak bimbang tentang masalah calon itu," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK DUN Ayer Kuning pada 7 Mac ini.

Satu sidang media akan diadakan selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.