PRN17: UMNO Sabah tak pilih pemimpin khianat parti bertanding atas tiket BN

Iklan
Bung Moktar.

KOTA KINABALU - UMNO Sabah tidak akan memilih atau menyokong pemimpin yang telah mengkhianati parti untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Perkara itu ditegaskan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan bahawa kesetiaan dan keikhlasan perjuangan seseorang ahli parti adalah asas utama dalam UMNO.

Iklan
Iklan

"Kami tidak akan memilih atau menyokong mana-mana pemimpin yang telah mengkhianati parti untuk bertanding di bawah panji UMNO dan BN dalam pilihan raya akan datang.

"Kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan adalah asas utama dalam UMNO, mereka yang gagal mematuhinya tidak mempunyai tempat dalam panji-panji parti ini pada pilihan raya nanti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, beliau turut menyatakan pandangannya kepada Majlis Tertinggi UMNO supaya bertegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti.

Beliau menyatakan pandangannya itu susulan Ahli Parlimen Putatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang ingin menyemak status keahliannya dalam UMNO.

Iklan

Jelasnya lagi, penggantungan keahlian Shahelmey bukan disebabkan sokongannya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Datuk Hajiji Noor, tetapi kerana tindakannya yang mengkhianati perjuangan dan mandat parti.

"UMNO sebagai sebuah parti yang berprinsip tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli atau pemimpin yang tidak setia kepada perjuangan parti.

"Setiap ahli UMNO harus sedar bahawa keahlian dalam parti ini datang dengan tanggungjawab dan disiplin. Setia kepada perjuangan UMNO ini bermakna harus mematuhi dasar dan keputusan parti," katanya.

Tambah beliau, ahli yang mengkhianati mandat diberikan parti adalah adalah satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan.

"Sekiranya ada pihak yang hanya mahu menyemak keahlian semata-mata kerana ingin bertanding dalam pilihan raya, maka UMNO harus bertegas bahawa parti ini tidak memerlukan pemimpin yang tidak setia," katanya.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan Shahelmey akan mendapatkan pengesahan berhubung status keahliannya dalam UMNO selepas dikatakan telah digantung sebelum ini.

Shahelmey mendakwa semakan keahliannya dalam UMNO di peringkat ibu pejabat masih aktif walaupun di peringkat negeri, keahliannya dikatakan telah digantung.